WISH

WISH

18 April, 2012

KUIN : Jawapan kat tok det dan komentar.


Kuin: Kerajaan Negeri yakin mampu bayar pinjaman RM330 juta

18 April 2012
Azizan- MB Kedah
ALOR SETAR - Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah diberitahu kerajaan negeri bersedia membayar Bank Islam sebanyak RM44.8 juta selama 13 tahun bagi melunaskan pinjaman RM330 juta untuk membina kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri mempunyai sumber dan mampu menjelaskannya mengikut jadual.

"Pinjaman yang dibuat dengan kerajaan persekutuan bagi membina Blok E Wisma Darul Aman (pusat pentadbiran negeri) akan selesai Disember ini. Selepas itu wang RM25 juta setahun yang digunakan bagi tujuan itu akan diguna pula untuk membayar Bank Islam.

"Saya yakin kita mampu dan baki hampir RM20 juta lagi akan diperoleh daripada sumber lain," kata Azizan di  Dewan Undangan Negeri semalam.

Beliau menjawab soalan Md Zuki Yusof (Pas-Kuala Ketil) yang ingin mengetahui bagaimana cara kerajaan Kedah membayar balik hutang dan kos penyelenggaraan Kuin kerana banyak pihak meragui kemampuannya.

Azizan berkata, kos penyelenggaraan dan operasi Kuin akan ditampung melalui yuran pengajian keuntungan operasi anak-anak syarikatnya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) yang meragui kemampuan kerajaan negeri berkata bagaimana ia dapat menampung kos operasi dan penyelenggaran Kuin sangat besar sedangkan kompleks sementara univerisiti di Mergong, Alor Setar menghadapi masalah pengurusan.

"Dua hari lepas saya dapat surat bahawa Kuin gagal melunaskan hutang berjumlah RM60,000 dengan sebuah klinik penelnya. Bagaimana kerajaan hendak tanggung kos operasi yang besar jika hal sekecil inipun berlaku," katanya ketika mengajukan soalan mengenai perkara sama.

Sementara itu, Mahdzir ketika membahaskan Usul Ucapan Tahniah kepada Sultan Kedah Sempena Pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, berkata, masalah berkaitan Kuin perlu diberi perhatian oleh semua pihak tidak kira di pihak kerajaan negeri atau pembangkang memandangkan Kuin adalah institusi pendidikan 'milik Kedah'.

"Kami (pembangkang) juga sokong Kuin dan mahu Kuin jadi institusi unggul. Apatah lagi Canselornya adalah Sultan Kedah yang kini menjadi Yang di-Pertuan Agong. Bajet kalau ada kena beri kerana jika persepsi terhadap Kuin lemah akan memberi imej buruk kepada Kuin," katanya.

Azizan dalam sesi penggulungan pula berkata beliau akan melihat kelemahan-kelemahan yang ada dalam operasi Kuin.

Persidangan hari ini turut meluluskan usul Rang Undang-undang Peruntukan Tambahan (Emolumen) bagi Tahun 2012 dan Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2012 serta usul cadangan peruntukan kepada Pemangku Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan serta Elaun Khas kepada Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah berikutan pelantikan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong. - Bernama

KUIN ; fokus komentar SINAR


BN dakwa Kuin hadapi masalah kewangan
MOHD IDROS MOHD ALI
17 April 2012

ALOR SETAR – Barisan Nasional (BN) mendakwa Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menghadapi masalah kewangan walaupun belum lagi berpindah ke kampus tetapnya yang baru di Kuala Ketil.
 
Ketua Pembangkang Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keadaan itu dapat dilihat sekarang ini walaupun ia masih beroperasi di kampus sementaranya di Mergong di sini.
 
Sebagai contoh kata beliau, Kuin mempunyai tunggakan hutang sebanyak RM60,000 dengan salah sebuah klinik panelnya di sini, menyebabkan kemudahan itu dibekukan sementara waktu.
 
“Kini kakitangan Kuin tidak dapat lagi menggunakan kemudahan itu dan terpaksa mengeluarkan duit sendiri ketika mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.
 
“Kalau dengan jumlah kecil pun tidak dapat dibayar, apa tah lagi dengan hutang yang mencecah ratusan juta ringgit membabitkan pinjaman dengan Bank Islam untuk membiayai pembinaan kampus di Kuala Ketil,” kata beliau kepada media selepas sidang Dun Kedah ditangguhkan bagi pesi pagi tadi.
 
Menurutnya, beliau juga mempunyai bukti bahawa beberapa syarikat kini mengemukakan saman terhadap Kuin di mahkamah akibat kegagalan isntitusi pengajian itu menepati syarat perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.
“Sebuah syarikat megemukakan saman untuk menuntut semula kos yang dikeluarkan bagi menyediakan 300 katil untuk penginapan pelajar Kuin pada tahun lalu.
 
“Semuanya sudah disediakan tetapi pelajarnya tidak datang,” katanya.
 
Mahdzir yang juga Adun Pedu berkata, mengikut perkiraaan, Kerajaan Negeri perlu membayar RM44 juta setahun selama 15 tahun kepada Bank Islam untuk melunaskan hutang RM300 juta itu.
 
Selain itu, beliau mendakwa perbelanjaan untuk membayar gaji sesetengah pensyarah Kuin didapati terlalu tinggi kerana ada yang mencecah sehingga RM35,000 sebulan.
 
“Kita tahu sumber utama perolehan Kuin adalah dari yuran pengajian. Adakah mereka mampu mengekalkan perbelanjaan yang semakin meningkat dengan hanya bergantung kepada sumber seperti itu.
 
“Kita ingin mendapat penjelasan daripada Kerajaan Negeri mengenai kedudukan kewangan Kuin," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...