KUALA TERENGGANU - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Malaysia memberikan pinjaman RM270 juta kepada kira-kira 24,500 usahawan di Terengganu sejak tahun 1998.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata negeri ini juga mencatatkan jumlah usahawan kedua teramai yang mendapat pembiayaan pinjaman dari Tekun selepas Selangor.

"Berdasarkan rekod Tekun, tujuh dari sepuluh usahawan yang membuat pinjaman berjaya membayar semula mengikut jadual yang disediakan dan kerajaan negeri berharap jumlah pembayaran semula dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

"Walaupun ada juga usahawan yang gagal membayar semula pinjaman mereka, namun itu adalah kes terpencil sahaja disebabkan beberapa masalah teknikal yang dihadapi mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Usahawan Terengganu 2012 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Seramai 2,000 usahawan dari seluruh Terengganu menyertai himpunan itu. Lapan usahawan turut terpilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Cemerlang peringkat Parlimen.

Usahawan Cemerlang peringkat Kuala Terengganu, Zakaria Husin, 40 yang membuka kilang kayu di Kampung Kubang Ikan berkata beliau menerima pinjaman Tekun sebanyak RM45,000 dengan bayaran semula sebanyak RM900 setiap bulan namun membayar RM1,000 supaya hutang itu dapat dilunaskan segera," katanya yang berjaya mencatat jualan antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

"Saya mengeluarkan produk dari kayu seperti pintu, alas pemotong daging dan pintu untuk pasaran tempatan dengan menggunakan kepakaran pertukangan kayu seramai tujuh orang pekerja.

Bagi Usahawan Cemerlang Parlimen Dungun pula, Nik Kamariza Hasni Abdullah, 39, yang mengusahakan salun kecantikan di Paka dan bandar Dungun menerima pinjaman RM50,000 tahun lepas dan membayar RM850 kepada Tekun setiap bulan dan setakat ini berjaya membayar mengikut jadual.

Anugerah Usahawan Cemerlang Hulu Terengganu pula diterima Fatimah Ali, 50 yang membuka kedai runcit di Kampung Lubuk Periuk dekat Felda Mengkawang sejak 11 tahun lalu.

"Ketika mula-mula dibuka, saya hanya memperoleh RM200 hingga RM300 sahaja sehari. Namun, dengan pinjaman dari Tekun sejumlah RM50,000, saya mampu menyediakan stok yang banyak di kedai dan kini berjaya mencatat purata jualan RM2,000 setiap hari.

"Dengan kemudahan pinjaman Tekun ini, hidup saya semakin selesa dengan keadaan ekonomi keluarga yang bertambah baik," kata ibu kepada lapan orang anak ini.- Bernama