Mahkamah Tolak Rayuan Khairy
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim meminda penyataan tuntutan dalam saman fitnahnya terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
apa aku nak kisah kalau ditolak pun |
Panel tiga hakim dianggotai Hakim Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan Khairy untuk mengetepikan keputusan Penolong Kanan Pendaftar yang membenarkan Anwar meminda penyataan tuntutannya.
Hakim Zaleha yang mempengerusikan panel berkata, mahkamah tidak dapat menerima hujah peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy bahawa pindaan itu akan mengakibatkan perubahan kausa tindakan daripada fitnah bertulis kepada fitnah lisan.
Bagaimanapun, beliau memerintahkan Khairy diberi kebebasan memfailkan penyataan pembelaan yang dipinda dalam tempoh 21 hari mulai hari ini (Rabu), selain membenarkan Anwar menjawabnya dalam masa dua minggu dari tarikh ia diserahkan.
Anwar memfailkan saman terhadap Khairy pada 7 September 2007 dan mendakwa defendan, yang ketika itu timbalan Ketua Pemuda Umno, memfitnah beliau pada satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak pada Ogos 2007.
Ketua pembangkang itu mendakwa fitnah yang dilafazkan Khairy disiarkan media cetak dan elektronik di negara ini pada 3 Ogos 2007.Khairy mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengetepikan keputusan Penolong Kanan Pendaftar pada 18 Mac tahun lepas.
Pindaan itu adalah berhubung perkataan fitnah yang dikatakan dilafaz Khairy.
Terdahulu, peguam Anwar Gobind Singh Deo berhujah Anwar berbuat demikian sebagai mematuhi keperluan undang-undang bagi menentukan tuntutan itu teratur sebelum kes itu didengar.
Beliau berkata, pindaan itu tidak akan mengubah kausa tindakan kerana intipati dakwaan kenyataan fitnah tidak berubah. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang risiko terhadap komen anda..tanggungjawab anda