10 April, 2012

Panas..panas ! TS Kadiaq mula dahh.


Kadir Sheikh Fadzir jumpa pimpinan PAS
(Kunjungan khas...TS Kadir bertemu dengan Abdul Hadi dan lain-lain pimpinan kanan PAS di Pejabat Agung malam tadi)

KUALA LUMPUR, 10 April: Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang mengumumkan keluar dari Umno Mac lalu, mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi.

Bekas ahli majlis tertinggi Umno itu dilihat tiba bersorangan di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut kira-kira jam 8 malam.

Beliau disambut Timbalan Presiden Mohamad Sabu serta Naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub.

Turut serta AJK PAS Pusat Datuk Kamarudin Jaffar, Asmuni Awi, Ketua Dewan Pemuda Nasruddin Hassan serta Setiausaha Politik Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Perbincangan antara kesemua mereka bermula kira-kira jam 8.15 malam sejurus Tuan Guru Presiden tiba.

Pelbagai topik dibincangkan khususnya isu politik tanah air berkaitan kepincangan pilihan raya.

Perbincangan itu berakhir kira-kira jam 10 malam.

Sebelum ini, Abdul Kadir menggemparkan politik negara apabila beliau yang lebih 50 tahun menyumbang keringat dalam Umno, mengumumkan keluar dari parti itu.

Beliau yang pernah menjawat jawatan menteri penerangan itu mendakwa bertindak demikian selepas hilang kepercayaan kepada pemimpin Umno BN pada masa ini.

Sebelum keluar Umno, beliau ada mendakwa perjuangan Umno BN hari ini sudah terpesong jauh dari matlamat asal penubuhannya.

Beliau juga mendakwa Umno menggunakan taktik menabur wang sama ada untuk membeli undi pilihan raya dan sewaktu pemilihan parti.

Kritikan dan kelantangan beliau itu kemudiannya mengundang kecaman hebat dari pemimpin Umno sehingga beliau bertindak keluar parti.

Terdahulu, beliau turut dibawa meninjau bilik mesyuarat serta pejabat pimpinan PAS di tingkat 5 sebelum mengadakan pertemuan di luar pejabat Presiden di tingkat 4.
Menariknya, Abdul Kadir yang kini sebagai Timbalan Presiden NGO Amanah Merdeka (Amanah), buat kali pertama akan muncul berceramah di pentas PAS pada satu program besar di negeri Kedah 15 April ini.

Ceramah tersebut akan diadakan di Kupang sempena lawatan rasmi Presiden PAS ke Kedah.

Beliau akan berceramah sepentas dengan Abdul Hadi, Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak serta Mahfuz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang risiko terhadap komen anda..tanggungjawab anda