30 Mei, 2012

apa ada pada orang asli


Tidak puas hati, Orang Asli pulang wang RM200

Khairil Abdul Rahim,30 Mei 2012
TEMERLOH: Kira-kira 100 penduduk Orang Asli Kampung Sungai Leleh, Lanchang semalam bertindak membantah dan memulangkan kembali wang sebanyak RM200 kepada Risda kerana dianggap tidak munasabah.

Menurut mereka, wang tersebut dikembalikan demi maruah mereka berikutan didapati berlaku ketidakadilan dan mungkir janji pihak kerajaan kepada persetujuan asal berdasarkan minit mesyuarat.

Mereka mendakwa, mesyuarat diadakan antara wakil penduduk dengan Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh tahun lalu itu, diadakan berikutan projek mengeluarkan bijih besi oleh anak syarikat kerajaan negeri Mentiga Mining Sdn Bhd yang memusnahkan ladang sawit Tanam Semula Kelompok (TSK) milik penduduk.

Pengerusi jawatan kuasa bertindak penduduk, Rawi a/l Gaud berkata, berdasarkan minit mesyuarat mereka sepatutnya menerima RM350 sebulan, 15 peratus keuntungan hasil pelombongan bijih besi dimasukkan ke akaun dan tanah seluas 50 hektar sebagai gantian kerosakan tanaman akibat aktiviti perlombongan bijih besi.

Namun begitu, katanya, semua janji tersebut tidak ditepati sejak lebih dua tahun yang lalu kecuali yang mereka dapat sebanyak RM200 beberapa hari lalu.

“Ladang sawit kami habis musnah apabila syarikat Mentiga masuk melombong besi sejak 2010. Air sungai tercemar teruk, sekarang kalau hari panas kami dapat habuk kalau hari hujan kami dapat jalan becak.

“Bila keadaan dah jadi macam ini mereka nak bayar kami RM200. Sekarang kami nak pulangkan semula duit tu sebab tidak munasabah dan tidak setimpal dengan kerugiannya,” katanya tegas.

Kampung Orang Asli Sungai Leleh meliputi kawasan tanah seluas 365 hektar dan 95 hektar daripadanya ditanam dengan sawit dengan 86 orang peserta. Terdapat kira-kira 100 keluarga daripada suku Temuan dengan lebih 400 penduduk.

Rawi menjelaskan, mula-mula dulu penduduk mengusahakan kebun sawit sendiri sehingga mampu meraih pendapatan RM1,000 sebulan. Tetapi apabila diambil alih oleh Risda jadi TSK dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mereka hanya dibayar RM500 sebulan.

Tambahnya, apabila syarikat perlombongan masuk ke situ tanah kebun mereka musnah sehingga menghadapi kesempitan untuk mencari sumber rezeki.

“Kami kesal orang lain yang tidak berkuasa ke atas tanah kami telah tanda tangan bersetuju menggali kawah lombong besi di sini sehingga 40 kaki ke bawah tanah.

“Lebih menakutkan, kalau diikutkan pelan yang dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri kawasan perlombongan bijih besi akan meliputi sehingga ke semua kawasan penempatan dan rumah penduduk.

“Itulah yang menyebabkan penduduk ketakutan kerana bimbang tiada kawasan lagi untuk penduduk diami dan kawasan hutan sudah semakin pupus untuk mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk tua di kampung berkenaan, Gaud a/l Batin Kang, 72, berkata penduduk hanya menuntut hak mereka sahaja yang sepatutnya diiktiraf sebagai warganegara serta penghuni asal dan tidak mahu meminta hak kepunyaan orang lain.

Menurutnya, kampung berkenaan telah wujud sejak lebih 100 tahun yang lalu dan ayah beliau sendiri iaitu Batin Kang, pernah menjadi pembantu kepada Orang Kaya Semantan Datuk Bahaman.

Turut hadir memberi semangat kepada Orang Asli peguam Ahmad Nizam Hamid dan pelakon Abdul Kadir Abdul Manap atau Pak Jabit.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...