KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini berpeluang menyemak arah kiblat yang betul pada pukul 5.16 petang hari ini (waktu Malaysia) berikutan fenomena Istiwa' Matahari di atas Ka'abah, iaitu matahari akan berada tegak di atas Kaabah, di Masjidil Haram, Makkah.

Laman Facebook milik Observatori Negara Langkawi (NOL), di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, memberikan pautan www.falak-online.net yang menyebut matahari akan berada tepat di atas Kaabah dua kali setahun iaitu pada 5.16 petang 28 Mei dan juga pukul 5.28 petang 16 Julai.

Di Makkah, Arab Saudi, ia berlaku pada 12.16 tengah hari 28 Mei dan 12.28 tengah hari pada 16 Julai.

Laman sesawang itu juga memaklumkan cara menyemak arah kiblat iaitu dengan memacak kayu atau pancang di atas tanah yang tidak dilindungi sebarang pokok atau bangunan supaya bayang kayu yang dipacakkan itu dapat dilihat dengan jelas.
"Apabila tepat masanya, pastikan bayang-bayang yang ada jelas dan tidak dilindungi. Kemudian buat garisan bayang-bayang itu ke arah matahari supaya mendapat arah kiblat yang tepat, Insya Allah," menurut laman itu.- Bernama
Subhanallah....peluang yang diberi perlu dimanfaatkan untuk membetulkan arah kiblat kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihi akan hamba-hambaNya bukan sekadar untuk membetulkan arah kita menghadapkan diri bagi menyembahNya malah terlalu banyak peluang yang diberi sepanjang hayat kita.Hanya manusia yang mahu berfikir sahaja akan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk,antara intan dan kaca.