Fitnah UMNO Kepada MB: Inilah Jawapan Saya Setakat Ini...
Hari ini MBI panggil semua Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang berada di bawahnya, dan dibuat penyusunan semula Ahli Lembaga Pengarah anak-anak syarikat dari pagi hingga petang. Saya menunggu hingga jam 7 malam untuk mendapat laporan dan maklumat tambahan untuk menjawab tuduhan yang dibuat oleh beberapa blog UMNO beberapa hari lalu.
Petang khamis lalu, sewaktu menjanjikan jawapan itu, CEO MBI ada memberi penjelasan ringkas setakat yang berada dalam pengetahuannya daripada maklumat yang digali daripada fail projek itu. Kerana saya sudah berjanji untuk cuba memberikan jawapan selepas Isnin, maka saya perturunkan dulu apa yang saya ada, sebelum MBI memberikan maklumat detail terhadap persoalan itu jika ada!
Polisi Kerajaan PR.
Bagi semua galian yang ditemui, diterokai, dieksploit daripada tanah kerajaan atau hutan simpan, oleh mana- mana pihak sama ada orang perseorangan atau syarikat, kerja-kerja mengusahasil mestilah dibuat kerjasama/usahasama dengan mana- mana GLC dengan pembahagian pulangan yang dipersetujui bersama. Polisi awal kerajaan ialah pembahagiannya mestilah 51-49, di mana GLC mesti memegang 51%.
Oleh kerana polisi peratusan ini (yang bertujuan memaksimakan pendapatan kerajaan melalui GLC) agak berat, ia telah memperlahankan kemasukan pelabur, aktiviti penerokaan hasil-hasil baru dan menurunkan minat pengusaha dalam aktiviti terbabit. Seterusnya ia boleh membantutkan pendapatan hasil royalti, cukai dan premium kepada kerajaan dan pendapatan GLC. Oleh yang demikian, Kerajaan telah memberikan mandat kepada mana- mana GLC yang menceburi bidang ini untuk mengadakan rundingan tentang pembahagian hasil yang munasabah dengan syarikat atau perseorangan yang meneroka dan menemui apa-apa galian dan mengemukakan permohonan untuk mengadakan usahasama dengan mereka. Amalan kerajaan BN sebelumnya ialah 30-70, GLC makan kuah, pengusaha makan isi.
Bagi GLC yang memiliki tanah sendiri dan galian ditemui sendiri seperti PKNK dan PKB yang menemui deposit batu besi yang banyak dalam tanah mereka, GLC itu sendiri mempunyai mekanisme sendiri untuk melantik operator secara tender atau rundingan. Dalam kes terbaru tanah PKB di Gurun, mereka membuat sendiri kajian harga pasaran dbahan itu dan membuat tawaran kepada mana- mana syarikat untuk membayar RM60 setiap tan metrik batu besi yang dikeluarkan dari tanah mereka. Bagi tanah PKNK di Aman Jaya, PKNK telah membuat tender terbuka dan beberapa syarikat telah dilantik sebagai pengusaha (operator) dengan kadar harga berdasarkan gred galian itu.
Kenali MBI dan Strukturnya di Bawah Kerajaan Baru.
MBI ( Menteri Besar Incoorporated) adalah sebuah syarikat Holding yang wujud sebelum 2008 (tahun berapa saya tak pasti- mungkin sudah berpuluh tahun) dan dibuat penyusunan semula di tahun 2009 dengan melantik CEO dan pegawai-pegawai (Pegawai Operasi, Pegawai Kewangan, Juruaudit Dalam, Pegawai Pemasaran, dan lain-lain) seperti mana syarikat-syarikat holding yang lain di negara ini.
Sebelum kerajaan bertukar tangan, MBI dikawal sendiri oleh Menteri Besar secara langsung. Antara syarikat yang wujud dan ditubuhkan di bawah MBI adalah PKB, Kedah Agro Industries Sdn Bhd, KCE (sudah digulung), Kedah Corp. Berhad (KCB), dan lain-lain. SADA adalah entiti baru yang diletakkan di bawah MBI di zaman PR. CEO pertama MBI ialah Sr. Hj Che Had Dhali (2009-2011), Dato' Bakar Din ( 2011-2012- D.O Kota Setar sekarang) dan Dato' Hj Shabudin Shafie (2012 - sekarang).
MBI dikawal oleh sebuah Lembaga Penasihat (berfungsi seperti Lembaga Pengarah) yang dianggotai oleh YAB MB sebagai Pengerusi, Dato' Paduka Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wira Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Penasihat Undang-undang Negeri dan YB Dato' Amiruddin Hamzah dan seorang Setiausaha Syarikat dari firma luar.
Selain berfungsi menyelia anak-anak syarikat dimilikinya, MBI juga menjalankan perniagaannya sendiri melalui kerjasama yang dijalankan dengan syarikat dan perseorangan yang datang mengemukakan proposal perniagaan mereka. MBI kini berjaya melaksanakan projek Ladang Sejahtera di beberapa lokasi dan merancang lebih banyak projek itu di masa depan.
Antara kejayaan besar MBI Di bawah kerajaan PR ialah membuat tuntutan kepada Felcra yang mengusahakan tanah milik kerajaan tetapi tidak menyerahkan hasil kepada kerajaan negeri seperti yang dipersetujui dalam perjanjian. Sekurang-kurangnya RM200 juta wang rakyat Kedah yang diabaikan (dipejam mata) oleh kerajaan dulu berjaya dikorek kembali daripada Felcra dan pembayaran sedang dibuat berdasarkan perjanjian.
Kes Yang Dibangkitkan Oleh Blogger Upahan UMNO
Dalam kes galian quartz (apa benda quartz tu saya pun tak tahu) yang diteroka dan ditemui di satu kawasan hutan simpan oleh sebuah syarikat (Quartzcity Global Resources yang dituduh sebagai kroni MB Kedah yang dapat anugerah projek berjuta- juta) yang dimiliki oleh seorang lelaki berketurunan siam dan seorang lelaki melayu bernama Ikram Shafie.
Setelah menemui galian itu atas usaha mereka meneroka, membuat kajian jumlah deposit, lab testing dan kerja-kerja permulaan, mereka telah membawa penemuan ini kepada MBI untuk mengadakan kerjasana berdasarkan polisi semasa kerajaan negeri. Pada masa itu, kawasan itu BUKAN tanah milik MBI dan bukan MBI yang menemui atau memiliki galian itu dan menganugerahkan kawasan itu kepada syarikat Quartzcity Global seperti yang digambarkan oleh blogger UMNO dalam fitnah terbaru mereka itu.
Satu perjanjian usahasama telah dimeterai antara MBI dan syarikat itu untuk mengusahasil galian tersebut. Antara persetujuannya ialah permohonan hak milik tanah dan permit galian dibuat oleh MBI supaya tanah itu terus menjadi milik kerajaan melalui GLC (kerajaan tidak kehilangan tanah kepada pihak swasta) dan urusan pelantikan operator untuk mengeluarkan galian quartz itu adalah urusan Quartzcity Global Recources setelah dipersetujui kedua-dua pihak.
Blogger UMNO membuat tuduhan bahawa MB telah memberi projek tanpa tender ini kepada kroninya, Ikram Shafie. Siapa Ikram Shafie? Saya bertanya MB malam kelmarin, adakah ada pertalian darah atau bau-bau bacang dengan Ikram Shafie.
Katanya dia kenal Ikram Shafie tetapi tiada pertalian darah. Aku kenal dia sebab isteri dia sewaktu zaman kanak-kanak pernah tinggal dengan Sheikh Hamzah, bapa mertua aku. Budak-budak panggil dia Pak Su Am! Dia seorang peniaga, apa dia meniaga aku tak tau, kata MB. MB tanya pasai apa hang tanya. Saya menerangkan kes blogger UMNO membawa fitnah baru bahawa Ustaz bagi projek juta- juta kepada kroni bersangkut dengan galian quartz dan mencuci kawasan yang MBI nak tanam nenas.
Oh! Macam tu! Cuba Hang tanya depa beberapa soalan, katanya.
PKB dok korek batu besi di Gurun, siapa korek aku tak tau, tapi aku juga jadi Penegrusi PKB, adakah aku yang bagi batu besi tu kat depa, dan adakah depa tu juga kroni aku?
Aku juga pengrusi PKNK dan ada banyak syarikat dapat batu besi depa di Aman Jaya, aku bagi juga ka? Kroni aku ka?
Aku juga Pengerusi KUIN dan banyak syarikat dok buat bangunan baru di Kuala Ketil, adakah aku juga bagi projek tu kat depa dan depa tu kroni aku juga ka?
Hang bagitau depa, di semua syarikat kita ada kumpulan pengurusan yang dok buat kerja depa. CEO buat kerja dia, kerani buat kerja dia, kalau semua aku buat, depa nak buat apa? Dalam kes quartz tu, satu hari 'Jan Siam' ada mai jumpa bagitau dia jumpa satu galian yang harga mahal di dalam hutan di Kubang Pasu ka Sintok ka tak ingat dah.
Kalau benda tu berjaya diusahakan, Kedah akan dapat hasil yang baik sebab benda tu tak ada di tempat lain. Aku kata baguih la hang tolong cari benda-benda yang boleh menjadi hasil baru kerajaan negeri. Jadi aku suruh dia pi kat MBI buat urusan dengan depa untuk korek benda tu. Masa tu Dato' Bakaq (Bakar Din) jadi CEO. Apa urusan depa lepas tu aku tak ambik tau sebab aku dan serah kat MBI buat apa yang wajar sebab kita sudah buat polisi tentang galian.
Pasai cuci kawasan nak tanam nenas tu salah tang mana pulak? Tanya MB. Saya terangkan - Blogger UMNO kata kroni MB dapat balak atas tanah tu berjuta-juta. Dalam surat tu MBI minta sejuta sebagai deposit untuk cuci dan bangunkan infra dia atas tanah MBI seluas 200 ekar. Mehat Saari (COO- Ketua Pegawai Operasi) yang sain surat tu. CEO bagitau saya dia tak dimaklumkan apa-apa oleh Mehat tentang kerja-kerja tu. Surat-surat dan fail semua dia pegang sendiri. COO boleh sain surat ka? MB bertanya. Saya jawab sepatutnya semua surat CEO yang sain. Mehat buat hal pulak dah ka? Tanya MB.....
Cuba hang kira berapa harga sehektar kayu atas kawasan tu kalau memang ada kayu balak? Kata MB.
Kalau ikut surat tu, RM1 juta untuk 200 ekar, satu ekar harganya adalah RM5000 dan kalau sehektar darab saja dengan 2.47 (1 ha = 2.47 ekar). Jawabnya RM12,350 sehektar. Maknanya depa membayar lebih daripada itu sebab depa juga diminta membangunkan infra seperti jalan, parit dan kolam air di atas tanah itu untuk tanaman nenas.
Hang tanya depa zaman UMNO dulu berapa depa dapat daripada sehektar kawasan balak?... Hang tolong jawab kat depa!
Jawabnya- Semua orang sudah maklum, di zaman UMNO, kerajaan cuma dapat RM1 ribu bagi hutan dara dan RM500 untuk kawasan sudah kerja seperti kawasan yang depa kerjakan itu. Sebagai perbandingan, pembalakan tebang dan cuci untuk projek ladang rakyat (ladang sejahtera) di lokasi lain yang ditender oleh Jabatan Perhutanan ialah RM11 ribu - RM12 ribu sehektar bagi kawasan dalam kategori seperti itu.
Soalan akhir saya kepada MB... Ustaz!, ada ka tidak Pak Su Am pernah jumpa dan minta apa-apa berkaitan projek ni...MB jawab ringkas...Berani dia nak cakap benda macam tu dengan aku!!!?
Kesimpulan:
1. Dokumen Komunikasi Antara Dua Syarikat Usahasama
Surat yang didedahkan oleh blogger upahan UMNO itu adalah surat biasa yang mengandungi komunikasi antara dua syarikat yang menjalankan usahasama untuk mengeluarkan galian quartz yang ditemui oleh Quartzcity Global dan membawanya kepada MBI untuk mengadakan usahasama seperti yang ditetapkan oleh polisi kerajaan.
2. Pengurusan projek ini dibuat oleh pengurusan MBI.
Seperti projek-projek lain di GLC yang lain, semua urusan dan keputusan operasi seperti ini tidak dibuat oleh MB, malah COO MBI tidak melaporkan kepada CEO MBI, apatah lagi melapor kepada MB.
3. MBI bukan dikawal secara langsung oleh MB seperti di zaman UMNO
Dengan struktur dan pengurusan MBI seperti yang ada sekarang, MBI bukan dikendalikan sewenang-wenangnya seperti zaman BN. Semua polisi dan keputusan dasar diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Penasihat yang dianggotai oleh wakil-wakil yang berautoriti dalam bidang pentadbiran, kewangan, undang-undang dan pelaburan.
4. Terlalu jauh untuk mengatakan Ikram adalah kroni
Ikram tidak pernah bersuara tentang aktiviti syarikatnya kepada MB, jauh sekali untuk melobi dan mendapat anugerah berjuta-juta. Bersandarkan pemerhatian saya tentang hubungan Ustaz Azizan dengan orang yang dikenalinya, melobi projek kerana kenal secara pribadi, kerana satu parti, kerana mencari duit untuk tolong parti, atau kerana kawan lama - adalah langkah pertama menempa kegagalan. Hal itu yang paling dibencinya. Berniaga kerana hang seorang peniaga, bukan kerana hang kenai aku! UMNO ditolak rakyat kerana tabiiat buruk ini. Itu pegangannya.
Dalam kes ini, Hanya 'Jan Siam' yang memang kerjanya mencari galian sejak zaman BN lagi berjumpa dan dia diminta menguruskan hasrat syarikatnya itu dengan pengurusan MBI. Apa yang dibuatnya dengan pengurusan MBI selepas itu adalah diluar pengetahuan MB dan itu adalah urusan mereka sendiri. Mustahil untuk mengatakan Jan Siam kroni juga.
5. Harga kayu balak dan jaras melebihi harga tender
Daripada kiraan mudah berdasarkan maklumat dalam surat jawapan kepada permohonan Quartzcity Global, dan perbandingan dengan kawasan hutan yang memang kaya dengan balak yang diberi secara tender oleh Jabatan Hutan, harga itu sudah munasabah, malah sudah melepasi harga tender. Secara logik, mana mungkin pengurusan MBI mencari kawasan yang semak yang jauh di tengah hutan belantara dengan pokok dua tiga pemeluk untuk dibangunkan sebagai ladang nanas. Antara kriteria pemilihan tanah untuk bangunkan oleh MBI ialah kawasan yang sudah diceroboh dan diterokai secara haram oleh mana-mana pihak- untuk mengelak aktiviti penerokaan haram terus berleluasa.
Adapun jika ada sebarang perkiraan antara mereka yang mengurusaturkan hal ini diluar pengetahuan, menyalahi dasar, polisi, etika dan arahan yang ditentukan oleh pengurusan tertinggi MBI, dan matlamat serta hala tuju kerajaan Pakatan Rakyat yang terangkum dalam slogan Kedah Sejahtera-Nikmat Untuk Semua... Merekalah yang harus menjawabnya di hadapan Allah swt.
Adapun pihak blogger UMNO yang merencanakan fitnah jahat ini, saya serahkan kepada mereka untuk bertaubat, insaf, sedar dan menoleh sebentar ke belakang, melihat apa yang pimpinan mereka telah laksanakan di zaman mereka diberi kuasa dan mengapa mereka ditolak oleh rakyat. Kami tidak mungkin mengulangi kesilapan dan kebangkrapan amanah dan integriti seperti mereka. Dakwaan, kritikan, serangan pribadi dan pendedahan untuk meraih keuntungan politik dan mendedahkan keburukan parti lawan patut bersandarkan maklumat dan bukti yang lebih kukuh, sahih dan berwibawa. Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang risiko terhadap komen anda..tanggungjawab anda