14 Oktober, 2013

Haji...

Haji adalah suatu permusafiran suci. Setiap permusafiran itu penuh dengan ketidakselesaan, keletihan, serba serbi kekurangan, kelemahan, dan ketidaktentuan.

Haji penuh dengan cabaran dan kekangan seperti orang ramai, perbezaan budaya, kesesakan, tolak menolak, himpit menghimpit, kurang bekalan air, undang-undang yang ketat dan sebagainya yang amat memerlukan kesabaran, tolak ansur, timbang rasa, kasih sayang, ukhwah dan persaudaraan sejati.

Haji adalah latihan spiritual ( batiniah ) untuk membiasakan diri dengan kehidupan akhirat kelak seperti melupakan sejenak keselesaan, kebahagiaan , pangkat dan kedudukan, taraf dan darjat serta kekuasaan dan keturunan.

Haji adalah latihan untuk berkerjasama, bertoleransi dan saling bertolak ansur serta faham memahami antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan pangkat, darjat serta keturunan seperti perkongsian bilik tidur, bilik air, tandas, dewan makan, dewan solat dan sebagainya.

Haji menemukan kita dengan kota suci Makkah dan Madinah sebagai suatu tempat yang amat asing kepada kita rakyat Malaysia terutama dalam aspek cuaca, reka bentuk bangunan, kemudahan dan prasarana asasnya seperti kekurangan bekalan air serta budaya penduduk asalnya ( bangsa Arab ) yang ego, kasar, bengis dan suka bertengkar itu.

Haji itu penuh dengan doa-doa, ganjaran-ganjaran serta peluang-peluang untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah SWT seperti kelebihan berdoa di :- Multazam, Hajar Aswad, Mitzab Hijir Ismail, Raudhah, dan sewaktu tawaf, saie, tahallul, bersedekah dan seumpamanya.

Semoga mereka yang telah mengerjakan rukun ini mendapat haji yang mabrur dan semoga kami yang belum berkesempatan akan dapat menunaikannya...insyaAllah.

Semoga semak-semak dosa,kemunafikan dan kefasikan dapat di TEBAS dari diri kita bagi menjadikan kita sebagai hambaNya yang benar-benar beriman.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...