14 Disember, 2009

Polis...Jangan Ikut Suka Aku

Misteri kehilangan Jafrin terjawab

KUALA KEDAH – Akhirnya misteri kehilangan seorang lelaki menghidap penyakit mental yang pernah dilaporkan Sinar Harian siaran 3 Disember lalu terjawab apabila lelaki itu, Jafrin Che Amat, 41, yang hilang hampir 14 hari dikatakan ditahan polis kerana disyaki penagih dadah.

Abang iparnya, Arshad Osman berkata, mereka dimaklumkan mengenai kemunculan Jafrin di tempat kerjanya oleh kawan-kawan yang bekerja berdekatan tempat kutipan duit parkir yang disewa mereka di Alor Setar kelmarin.

Menurutnya, setelah menerima panggilan dari kenalan terdekat mereka itu, dia sekeluarga bergegas pergi ke tempat kerja Jafrin dan mendapati adik iparnya itu kembali namun, dalam keadaan tidak terurus dan fizikalnya yang semakin kurus.

“Semasa kami semua bertemu kembali Jafrin, dia hanya memakai seluar pendek dan kemeja merah yang dipakainya pada hari terakhir sebelum kehilangannya.

“Jafrin memaklumkan sepanjang 12 hari kehilangannya sejak Aidiladha ketiga itu, dia ditahan polis untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar ketika berada di tempat kerjanya,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Padang, di sini.

Arshad berkata, mereka gembira apabila pencarian mereka selama 12 hari itu berakhir namun, ia menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan polis yang dikatakan menahan Jafrin tanpa memaklumkan kepada mereka.

Menurutnya, mereka semua menghabiskan masa dan wang serta tenaga mencari Jafrin di serata tempat sehingga ke Perlis tanpa mengetahui bahawa adik iparnya rupanya berada dalam lokap dalam tempoh itu.

“Sejak laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Kedah pada 30 November lalu, pihak mereka tidak memaklumkan sebarang perkembangan kehilangan Jafrin, apatah lagi mengenai tangkapan ini.

http://kedahlanie.blogspot.com/2009/12/isu-jafrin-bukan-hilang-tapi-masuk.html

Pada aku kes ini perlu menjadi kayu pengukur kepada PDRM khususnya dan Kementerian Dalam Negeri amnya dalam menangani masalah rakyat. PDRM yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan keharmonian penduduk seluruhnya perlu bertindak dengan lebih profesional. Siapa pun yang ditahan atas apa pun sebabnya perlulah dilihat pada tatacara kerja yang ditetapkan. Dari kes ini, ia memperlihatkan keangkuhan pihak PDRM sendiri, seolah-olah PDRM menjalankan tugas Ikut Suka Aku (ISA). Ini tidak patut. Apatah lagi dengan keadaan seseorang yang ditahan itu.

Persoalannya tidak berpengalamankah pihak PDRM dalam menguruskan hal demikian. Tidak tahu menilaikah pihak PDRM terhadap seseorang yang ditahan?. Kita perlu ingat bahawa setiap rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang terbaik dan sewajarnya dari setiap agensi kerajaan biarpun parti mana yang memerintah atau siapapun mereka itu.

Ayuh jadikan negara dan negeri kita sebuah tempat yang selamat dan sejahtera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang risiko terhadap komen anda..tanggungjawab anda