05 Januari, 2010

Kes Penggunaan Perkataan "Allah"...Pendirian PAS

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." 
Ali-Imran [3] : 110


DI BAWAH ADALAH KENYATAAN PENUH PRESIDEN PAS

PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam 
Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang risiko terhadap komen anda..tanggungjawab anda