10 Februari, 2012

umno(Baru) dah terbabas pun..


Nazri Abdullah, 10 Feb 2012



(Kesian Umno sudah menyimpang jauh...kata Tan Sri Kadir dalam sidang medianya hari ini)
SERDANG, 10 Feb: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini membidas tindakan pemimpin Umno yang mahu merujuknya ke Jawatankuasa Disiplin parti itu ekoran beberapa kritikannya.

"Saya tak ada masalah apa, saya pun tak bergantung hidup pada parti, cuma saya kesianlah kerana Umno sudah menyimpang jauh," katanya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib 27 Januari lalu memaklumkan, Tan Sri Kadir akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Umno berikutan beberapa kenyataan yang dibuat oleh beliau.

Tindakan diambil Umno berikutan beberapa siri temubualnya dengan media alternatif khususnya dengan TVPAS (Harakahdaily), MobTV dan Malaysiakini.tv yang menyentuh isu pembelian undi pilihan raya yang sedang berjalan dan kegagalan BN melaksanakan agenda bumiputra yang ditafsir sebagai menghentam parti.

"Pandangan yang saya beri dalam rakaman ini tidak sampaipun 10 peratus dari apa yang kami Pemuda Umno dan yang lain-lain pada tahun 60an dan 70an dahulu pernah berhujah, mengkritik dan memberi pandangan termasuk yang pedih terhadap pimpinan parti.

"Kepada Jawatankuasa Disiplin pula tidaklah perlu bersusah payah untuk menyiasat saya kerana saya akan menghantar kepada mereka rakaman-rakaman ini yang penuh dan tidak diedit," katanya pada sidang media di pejabatnya di Mines Waterfront di sini.

Salinan rakaman temubual itu menurutnya akan dihantar kepada pejabat Umno selewat-lewatnya minggu depan.

Pada temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk tujuan membeli undi pada pilihan raya.

Dalam isu agenda bumiputra pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputra di tahap sepatutnya sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.

Ianya termasuk kemudahan pinjaman 30 peratus kepada syarikat kecil bumiputera yang kini sudah dihentikan.

"Kalau benda macam ini pun saya tak boleh bagi pandangan, apa dah jadi dengan Umno. Saya ni orang lama, kaji la dulu apa yang orang kritik.

"Datuk (Sri) Najib pernah buat lawak kata wujud dilema dalam Umno 'jika beri salah, tak beri kalah', maknanya ini (politik wang) sudah jadi tabiat yang diterima dalam Umno," katanya yang juga bekas Menteri Penerangan dan Komunikasi.

Menyifatkan rasuah politik oleh Umno itu sebagai perbuatan hodoh dan ketinggalan zaman, Abdul Kadir juga mendakwa wujud keadaan di mana mereka perlu membayar wang kepada rakan-rakan seperjuangan untuk mendapat tempat dalam parti termasuk jawatan tertinggi.

Selain itu, beliau juga menasihatkan pemimpin Umno agar tidak menuding jari kepada pihak lain berhubung kegagalan perlaksanaan agenda bumiputera.

"Jangan persalahkan orang Cina atau parti-parti politik Cina di atas kegagalan pimpinan kita (Umno) sendiri untuk meletakkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera ditempat yang adil dan sepatutnya," katanya lagi.

Beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) juga mendakwa, tindakan Umno ke atasnya itu hanya mengesahkan pandangan rakyat selama ini bahawa Umno sekarang bukan sebuah parti demokratik.

Menurutnya, ia berbeza dengan Umno zaman penubuhannya oleh Datuk Onn Jaafar dahulu yang benar-benar demokratik dan mendengar pandangan semua pihak.

Ditanya jika Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata ianya bukan masalah baginya.
 (Berita dari Harakahdaily)
Bukan kesian kat umnooo..tapi kesian kat penyokong umno(Baru)..dah la ditipu tentang nama parti..bab agihan ekonomi pun ditipu..Pemimpin jadi kaya raya..penyokong sendiri pun ramai yang merangkak-rangkak..dok cari sumbangan itu ini..dok tunggu agihan bantuan lepas satu satu.Nak buat apa pun tunggu peruntukan fulus dulu...Nasib...nasib..dulu,kini dan selamanya selagi dok bergayut kat umno(Baru) ni..kalau tak percaya,lihat le sekeliling rumah dan kampung/penempatan sendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...