18 April, 2012

KUIN : Jawapan kat tok det dan komentar.


Kuin: Kerajaan Negeri yakin mampu bayar pinjaman RM330 juta

18 April 2012
Azizan- MB Kedah
ALOR SETAR - Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah diberitahu kerajaan negeri bersedia membayar Bank Islam sebanyak RM44.8 juta selama 13 tahun bagi melunaskan pinjaman RM330 juta untuk membina kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri mempunyai sumber dan mampu menjelaskannya mengikut jadual.

"Pinjaman yang dibuat dengan kerajaan persekutuan bagi membina Blok E Wisma Darul Aman (pusat pentadbiran negeri) akan selesai Disember ini. Selepas itu wang RM25 juta setahun yang digunakan bagi tujuan itu akan diguna pula untuk membayar Bank Islam.

"Saya yakin kita mampu dan baki hampir RM20 juta lagi akan diperoleh daripada sumber lain," kata Azizan di  Dewan Undangan Negeri semalam.

Beliau menjawab soalan Md Zuki Yusof (Pas-Kuala Ketil) yang ingin mengetahui bagaimana cara kerajaan Kedah membayar balik hutang dan kos penyelenggaraan Kuin kerana banyak pihak meragui kemampuannya.

Azizan berkata, kos penyelenggaraan dan operasi Kuin akan ditampung melalui yuran pengajian keuntungan operasi anak-anak syarikatnya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) yang meragui kemampuan kerajaan negeri berkata bagaimana ia dapat menampung kos operasi dan penyelenggaran Kuin sangat besar sedangkan kompleks sementara univerisiti di Mergong, Alor Setar menghadapi masalah pengurusan.

"Dua hari lepas saya dapat surat bahawa Kuin gagal melunaskan hutang berjumlah RM60,000 dengan sebuah klinik penelnya. Bagaimana kerajaan hendak tanggung kos operasi yang besar jika hal sekecil inipun berlaku," katanya ketika mengajukan soalan mengenai perkara sama.

Sementara itu, Mahdzir ketika membahaskan Usul Ucapan Tahniah kepada Sultan Kedah Sempena Pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, berkata, masalah berkaitan Kuin perlu diberi perhatian oleh semua pihak tidak kira di pihak kerajaan negeri atau pembangkang memandangkan Kuin adalah institusi pendidikan 'milik Kedah'.

"Kami (pembangkang) juga sokong Kuin dan mahu Kuin jadi institusi unggul. Apatah lagi Canselornya adalah Sultan Kedah yang kini menjadi Yang di-Pertuan Agong. Bajet kalau ada kena beri kerana jika persepsi terhadap Kuin lemah akan memberi imej buruk kepada Kuin," katanya.

Azizan dalam sesi penggulungan pula berkata beliau akan melihat kelemahan-kelemahan yang ada dalam operasi Kuin.

Persidangan hari ini turut meluluskan usul Rang Undang-undang Peruntukan Tambahan (Emolumen) bagi Tahun 2012 dan Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2012 serta usul cadangan peruntukan kepada Pemangku Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan serta Elaun Khas kepada Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah berikutan pelantikan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang risiko terhadap komen anda..tanggungjawab anda