25 Ogos, 2012

55 tahun dok tunggu janji..


Tunai janji beri hak milik tanah


MOHAMED KHALED (dua dari kanan) meninjau rumah Anie (kanan) yang terbakar di Taman Rinting, Masai, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta kerajaan negeri Johor melunaskan janji yang dibuat 10 tahun lalu iaitu untuk menyerahkan geran hak milik tanah kepada penduduk di 10 buah perkampungan setinggan di sekitar Parlimen Tebrau dan Johor Bahru.
Perkampungan terbabit ialah Kampung Sepakat 1, Kampung Sepakat 2, Kampung Senibong, Kampung Plentong Tengah, Kampung Melayu Pandan, Kampung Rumah 10, Kampung Plentong Baru, Kampung Sri Bahagia dan Jalan Jasa, Plentong yang keseluruhannya melibatkan lebih 10,000 penduduk yang mendiami lebih 2,000 rumah.
Setakat ini, hanya penduduk Kampung Pasir Gudang Baru sudah mendapat hak masing-masing.
Mohamed Khaled berkata, penduduk sudah menunggu hampir sedekad lamanya janji tersebut yang dibuat oleh kerajaan negeri semasa pembentangan Bajet Negeri Johor 2003.
Sekarang sudah tahun 2012.
"Pihak UMNO bahagian juga telah memainkan peranan dengan mengemukakan perkara ini kepada mereka (kerajaan negeri)," katanya selepas melawat seorang mangsa kebakaran di Taman Rinting, Masai di sini semalam.
Sebelum ini, media pada tahun 2003 pernah melaporkan pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dalam Bajet Negeri Johor 2003 yang memberi jaminan geran hak milik tanah akan diberikan kepada 17 perkampungan setinggan di sekitar Parlimen Tebrau dan Johor Bahru.
Dengan penyerahan itu, status setinggan yang membelenggu penduduk terbabit sejak sekian lama akan terhapus.
Ujarnya, pihaknya juga sudah mengemukakan beberapa jalan penyelesaian seperti membuat penukaran pemilikan tanah kerajaan di tapak bekas Penjara Ayer Molek namun setakat ini belum ada perkembangan lanjut .
"Dengan semangat kemerdekaan dan pada bulan Syawal yang mulia ini serta dalam mendukung sloganJanji Ditepati, saya dengan penuh harapan agar isu ini diberi perhatian serius dan disegerakan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang risiko terhadap komen anda..tanggungjawab anda