orang Perak.. |
Dimana sahabatku kini ?
Dulu kami memang rapat..sama-sama dilatu semasa latihan Kadet TJP 38 di Sekolah Pegawai Kadet, Sebatang Karah,Port Dickson tahun 1980 dan ditauliahkan pada April 1981. Kami memohon untuk ditauliah ke Kor RGK tetapi aku ditegur oleh jurulatih kerana ketiga-tiga pilihan aku adalah RGK..Jurulatih aku kata aku gila..ubah..hang bubuh RGK tu pilihan keberapa pun depa akan ambil hang kerana bukan ramai yg mau jadi tentera gila..Maka aku letaklah RGK tu sebagai pilihan ketiga pula...takdir aku ditauliahkan ke RAMD dan Raus ke RGK.Selepas ditauliahkan kami ikut le kor dan unit masing-masing, peluang berjumpa amat jarang. Seingat aku pernah 2 kali je kami bertemu semasa berpangkat Lt.Muda,kemudian tak pernah bertemu dah..
Ni catatan dari satu laman forum tentang Wira yang tak didendang..
Siri 2 : The Roaring Tiger : Capt Mohd Raus b Abd Manaf (R)
Sepengetahuan Den , komando Malaysia ini ada ramai hero-hero yang tidak diketahui oleh pihak umum sebaliknya mereka adalah ‘legenda’ dan menjadi sebut-sebutan antara beberapa generasi komando sama ada disebabkan oleh keberanian mereka di dalam menentang musuh atau pun ada juga yang menjadi legenda disebabkan sifat dan sikap ketaatsetiaan serta semangat komando yang mereka tunjukkan di dalam penugasan harian mereka. Dan ada juga di antara mereka yang menjadi ‘legenda’ disebabkan perangai dan sifat mereka yang …berani tak bertempat. Masa zaman Den, nama-nama seperti Nordin Awang Liku, Ali Cabang, Osman Mario, Bakar Engginer , Kapt Suffian. Mc Gyer, dan beberapa orang lagi selalu menjadi ‘cerita’ di kalangan anggota komando bukan disebabkan keberanian mereka semasa bertempur dengan pihak PGKM, tetapi disebabkan sifat dan semangat komando mereka yang agak extreme...
Di dalam pada itu ada juga di antara anggota komando yang agak low profile tetapi telah menunjukkan semangat yang berani dan sifat komando yang sejati semasa menghadapi musuh. Salah seorang dari mereka yang Den kenali adalah Kapt Mohd Raus bin Abdul Manaf (B). Sebenarnya Den tidak begitu rapat dengan beliau dan kalau Den bertembung dengan dia pun selalunya kami akan ..”hai..hai..”..’bye..bye’’..sahaja. Ini mungkin sebab sikapnya yang agak low profile dan kurang bergaul dengan junior officer macam Den membuatkan perhubungan Den dengan beliau tidak begitu akrab. Apa pun Kapt Mohd Raus ini mempunyai ‘cerita’ yang menarik semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Troop di unit 21 Komando. Menurut rekod rasmi yang Den semak, beliau pernah terlibat dengan satu pertempuran dengan pihak PGKM.
CAPT MOHD RAUS B ABD MANAF (R)Pada 27 Mac 83, Beliau telah terlibat dengan satu operasi mencari dan memusnahkan PKM di kawasan hutan Grik, Perak .Pada ketika itu beliau berpangkat LT MUDA dan sedang mengetuai satu troop dari Skn Yankee 21 Kdo. Semasa di dalam kawasan operasi troop tersebut telah berpecah kepada 3 kumpulan, dan ini bermakna , setiap kumpulan berkekuatan antara 10-12 orang sahaja. Kira kira 2 hari berada di dalam kawasan tanggungjawab, kumpulan yang dipimpin oleh Lt Muda Mohd Raus, telah terjumpa dengan satu penempatan yang dipercayai sebagai khemah musuh. Beliau seterusnya telah membuat ‘close target recce’ [ tinjauan rapat ke sasaran] dah setelah memperoleh maklumat lengkap berkaitan dengan kedudukan kem PGKM serta komposisi anggota PGKM, beliau telah merancang untuk melaksanakan satu serangan ke atas kem tersebut.
Pada 30 Mac, jam lebih kurang 0130 pagi, di dalam keheningan dan kegelapan malam, kumpulan Lt M Raus, telah bergerak merapati sasaran. Dari pengalaman Den, pergerakan ini bukanlah mudah kerana keadaan hutan yang tebal serta kemungkinan besar kumpulan tersebut tidak mempunyai peralatan seperti Nigth Vision Google, akan menyukarkan lagi pergerakan mereka. Walau bagaimanapun, berkat latihan dan semangat juang yang tinggi mereka berjaya menghampiri sasaran tanpa dapat dikesan oleh pihak PGKM. Setelah semuanya berada di dalam kedudukan yang dirancang, tepat pada jam 0600 pagi mereka telah bergerak semula untuk merapati sasaran.
Semasa merapati sasaran , beliau telah melihat terdapat dua susuk tubuh manusia yang dipercayai sebagai PGKM sedang bergerak menuju ke arah beliau dengan menggunakan lampu picit. Melihat kelibat tersebut semakin hampir maka, Lt M Raus telah melepaskan tembakan dan mengenai salah seorang dai anggota PGKM tersebut. Tembakan tersebut telah mengejutkan semua PGKM yang berada di dalam kem itu [dianggarkan seramai 8-10 orang ] dan mereka seterusnya telah berbalas-balas tembakan. Walau pun keadaan pada masa itu masih agak gelap, pertempuran terus berlaku di antara kedua belah pihak. Mungkin kerana khuatir akan bilangan pasukan keselamatan yang menyerang atau memang telah menjadi taktik pasukan PGKM, semasa bertempur dengan pasukan keselamatan, maka pihak PGKM telah membuat pengunduran . Keadaan menjadi senyap sunyi setelah mereka berhenti tembak-menembak hampir 30 minit dan pada waktu itu mentari pun dah mula menampakkan diri.
Semasa ‘pembersihan kawasan’ selepas serangan tersebut, mereka telah menjumpai 2 mayat anggota PGKM, 3 laras senjata, sejumlah peluru dan bekalan makanan yang telah ditinggalkan oleh pihak PGKM semasa pengunduran. Berdasarkan kepada kesan darah di kawasan kem tersebut, adalah dipercayai sekurang-kurangnya 2-3 orang lagi anggota PGKM yang telah cedera dan sempat melarikan diri. Sementara itu, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan berlaku ke atas kumpulan Lt M Raus yang hanya berkekuatan 10 orang itu .
Walaupun serangan tersebut berjaya dan boleh dianggap sebagai sesuatu yang unik memandangkan kekuatan pasukan, masa dan situasi serangan tersebut dilancarkan ia tidaklah di ‘war-warkan’ sebagaimana yang sepatutnya. Lt M Mohd Raus bin Abd Manaf, hanya di anugerahkan pisau tempur di atas kejayaan beliau di dalam melancarkan serangan ke atas pihak PGKM tersebut pada 1 Mac 1985, iaitu dua tahun selepas kejadian tersebut. Den secara peribadi merasa kesal di dalam kes ini kerana, beliau juga sepatutnya menerima anugerah yang lebih tinggi memandangkan keberanian beliau dan kepimpinan beliau yang begitu tinggi walaupun masih muda pada waktu itu. Mengapa beliau tidak di anugerahkan dengan anugerah yang lebih tinggi dan mengapa hanya selepas dua tahun baru jasanya di ingati , adalah sesuatu yang sukar untuk difahami. Mengapa pihak Gerak khas boleh terlepas pandang di dalam perkara ini adalah sesuatu yang Den musykilkan.
Dan pada hari ini, Kapt Mohd Raus bin Abdul Manaf, telah bersara. Dari maklumat terakhir yang Den terima, beliau pada satu ketika pernah menjadi pemandu teksi, menjual ubat-ubatan tradisional dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Maklumat ini Den ketahui dari beliau sendiri semasa Den terserempak dengan beliau di MINDEF dan pada waktu itu dia ada membawa bersama ‘beg’ yang mengandungi minyak dan ubatan tradisional yang hendak dijual kepada Den. Mengapa kehidupan beliau “tidak sebagaimana yang sepatutnya”, Den tak nak menuding jari atau membuat spekulasi siapa yang patut dipersalahkan dengan keadaan beliau sekarang. Cuma Den sedih sebab, jasa beliau yang amat tinggi dan patut dihargai , sanggup menyabung nyawa untuk memastikan keselamatan negara, TIDAK DIHARGAI DENGAN SEWAJARNYA.
Pada hari ini kita lihat ada juga yang dengan mudah memperoleh anugerah pingat-keberanian , walaupun kalau jika kita semak baik-baik , keberanian yang ditunjukkan itu adalah tidak setanding jika dibandingkan dengan keberanian yang telah ditunjukkan oleh KAPT MOHD RAUS BIN MANAF [Bersara]. Apa pun Den doakan semoga beliau sentiasa mendapat perlindungan Allah dan semoga melimpahkan rezeki ke atasnya. AMIN
LIHAT SINI.
Aku teringat kisah dalam buku cerita " Crocodile die twice".
Moga-moga Allah mempertemukan kami lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang risiko terhadap komen anda..tanggungjawab anda