Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
DUNGUN: Sudah sampai masanya Umno direhatkan dan PAS diberi peluang memerintah dengan Islam yang akan menyelamatkan negara ini, demikian seru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, Islam mesti diberi peluang memerintah sebagai agama yang tidak memaksa, sehingga tertegaknya konsep politik, ekonomi dan segala pelaksanaan menurut Islam dalam kehidupan manusia.
“Orang Melayu ini kalau bukan PAS, (dia) Umno. (Kalau bukan) Umno, (dia) PAS. Atas pagar tak banyak mana. Kita dah beri lama dah masa pada Umno, 50 tahun lebih. Oleh kerana itu, biarlah orang Umno beri rehat kepada parti dia.
“Beri Umno berehat, tengok PAS memerintah negara ini macam mana. Dengan tokoh-tokoh politik, ekonomi yang ada macam-macam ini, tengok macam mana kita nak memerintah dengan Islam.
“Dan saya nak beritahu orang yang bukan Islam, jangan takut dengan Islam. Kalau orang bukan Islam boleh terima ideologi komunis, yang buat Komunis ini Karl Marx. Karl Marx ini bukan orang Cina, bukan orang India, dia orang Yahudi Jerman.
“(Tetapi) ada orang Cina, orang India berjuang untuk komunis masuk hutan sampai kurus kering, makan rumput, payah makan,” ucapnya pada Himpunan Harapan Semua (Harap 3.2) di Kampung Pulau Serai, di sini 18 September lalu.
Katanya, sebegitu juga sebagaimana masyarakat telah menerima BN, MCA dan MIC yang menganut kapitalisma, sedangkan idealogi itu dipelopori oleh Adam Smith berbangsa Inggeris.
Oleh itu serunya, jika ada yang sanggup berjuang menegakkan ideologi asing itu, maka sewajarnya mereka juga boleh memberi peluang kepada Islam.
“Barulah tak timbul kapal terbang hilang, tak timbul 1MDB, tak timbul Perwaja yang kilang besi itu, sedar-sedar besi tak ada, duit pun tak ada juga. Tidak timbul bermacam-macam penyelewengan. Kerana apa? Kerana kita yang berpegang dengan Islam ini ada perhitungan dosa pahala.
“Bukan sahaja dalam bab sembahyang, puasa (sahaja), termasuklah bab ekonomi, politik. Puak-puak ini (Umno), dosa pahala dia sembahyang puasa saja. Dalam bab ekonomi, politik tak ada dosa pahala. Baham duit banyak-banyak, lepas itu buat umrah.
“Buat umrah, balik, buat umrah pula. Selesai macam itu, dia ingat mudah begitu saja (hal dosa pahala). Kita lain dengan mereka. Terimalah pendekatan Islam yang kita bawa ini, insya-Allah boleh selamatkan negara kita,” seru beliau.
Pada ucapannya itu, Tuan Guru turut menyangkal kebimbangan bahawa terdapat dalam kalangan tertentu termasuk profesional kononnya sudah tidak bersama PAS.
Terang beliau, perjuangan Islam adalah umpama pokok yang subur di mana tunjang dan akarnya kuat mencengkam di dalam tanah, sementara batang, dahan dan rantingnya menjulang ke langit.
“Pokok ini tidak boleh mati, itu pokok yang baik. Islam adalah pokok yang baik, begitulah perjuangan Islam adalah pokok yang baik. Kalau pokok itu pokok yang baik, kerat ranting dia, kerat dahan dia, bukan sahaja pokok dia tak mati, dia akan tubuh tunas 10, 20 ke 30, ini tunas dia akan tumbuh.
“Allah Taala buat ujian sebelum mendapat kemenangan, kerana orang yang layak bersama dengan kemenangan Islam, mesti seorang yang ikhlas, seorang yang jujur, seorang yang tidak menipu.
“Kita tak nampak orang ini jujur tak jujur, tak tahu dia ikhlas tak ikhlas. Maka Allah Taala buat ujian, Allah Taala singkirkan mereka yang tak ikhlas ini daripada perjuangan Islam. Ini dilakukan oleh Allah Taala,” jelasnya memetik ayat 179 surah Ali-Imran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang risiko terhadap komen anda..tanggungjawab anda